Photobucket

Wednesday 20 February 2013

REFKELSI AWAL 1.3 (EDU)


REFKLESI AWAL 1.3
3. Pada jangkaan anda, bagaimanakah kursus ini akan dapat membantu anda dalam menyelesaikan masalah pembelajaran yang anda telah perihalkan?

Masalah hilang fokus terhadap pembelajaran.
Isi kandungan modul ini sangat membantu semua guru dalam menangani masalah tersebut. Ini kerana kursus ini memberi pendedahan kepada guru untuk merancang, memilih, menghasilkan dan menilai media dengan lebih berkesan dan efektif. Contohnya penguasaan Modul Assure dalam merancang pengajaran dan pembelajaran boleh menarik minat murid-murid untuk melalui aktiviti kinestik seperti simulasi, main peranan,lakonan dan sebagainya. Bahkan tayangan video atau persembahan elektronik juga dapat menarik minat murid-murid untuk lebih fokus pada pelajaran.

Kursus ini juga mendedahkan guru untuk memilih media dan kaedah penyampaian yang sesuai, menyediakan persekitaran pembelajaran yang memberangsangkan dan membuat penilaian terhadap pembelajaran. Pembelajaran menjadi menarik dengan penglibatan murid yang aktif dan bertindak balas yang betul.Seterusnya penilaian akan menghasilkan idea untuk membuat penambahbaikan dalam pengajaran dan pembelajaran. 

Kaedah pembelajaran yang menarik dan hampir dengan murid yang terdapat dalam kursus ini mampu meningkatkan fokus murid pada proses pembelajaran mereka. Kandungan kursus ini juga mendedahkan sistem pendidikan kini lebih efisen dan mampu melahirkan pembelajaran yang berkesan kepada murid dalam masa yang lebih singkat  tanpa mengganggu fokus mereka terhadap pelajaran.

 2.Masalah ponteng kelas.
 Dunia pendidikan sekarang sangat berbeza dengan pendidikan tradisional dahulu. Kursus ini banyak memberi pendedahan kepada saya dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang tidak membosankan. Kandungan kursus seperti reka bentuk pengajaran,media pengajaran model Assure, Asas Grafik, TMK, Penggunaan Bahan 2 dimensi dan 3 dimensi serta lainnya boleh menarik minat murid-murid  terhadap aktiviti pembelajaran. Kecenderungan yang tinggi terhadap pembelajaran dapat mendorong murid-murid bersungguh-sungguh menimba ilmu tanpa mahu membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah dan merugikan mereka. Kesungguhan mereka pada pembelajaran dapat mengelak masalah ponteng kelas ini.


3.Ketinggalan Pelajaran Kerana Tiada Di Sekolah

Dalam melaksanakan program seperti e-pembelajaran, internet dan komputer merupakan resos utama. Pendedahan yang diberikan dalam perlaksanaan e-pembelajaran ini dapat membantu murid yang tidak dapat menerima pelajaran kerana sebab-sebab tertentu. Murid boleh menerima pembelajaran daripada modul e-pembelajaran melalui internet atau CD. Di samping itu,ia juga membantu untuk mengembangkan potensi murid dalam melayari maklumat untuk penyelesaian pembelajaran dan memenuhi perasaan ingin tahu mereka. Keberkesana kaedah ini mungkin dapat membantu masalah pelajar yang keciciran pelajaran kerana tiada di sekolah.
Sesungguhnya perkembangan teknologi memanfaatkan guru dan murid. Ia telah mengubah corak pengajaran dan pembelajaran, guru yang berkesan akan menggunakan teknologi dalam membantu pengajaran. Bahan berasaskan computer perlu sesuai dengan budaya murid. Semua murid mesti diberi peluang dan ruang untuk belajar dan meneroka alam siber secara meluas dalam suasana yang terkawal dan penuh tanggungjawab.
 

4.Guru yang mengajar bukan opsyen

Setiap guru perlu berfikiran terbuka dan positif dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Amanah dan tanggungjawab yang diberikan perlu dijalankan dengan sebaik-baiknya. Bak kata pepatah “ Di mana ada usaha di situ ada jalan”. Segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi semasa di maktab perguruan wajar diaplikasikan sepenuhnya untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang maksimun.

5.Kerosakan alatan ICT.
Sikap tanggungjawab  perlu disemai kepada setiap warga sekolah agar menghargai dan menggunakan segala kemudahan ICT dengan sebaik-baiknya. Di samping itu pihak kerajaan,sekolah dan PIBG harus menyediakan peruntukan yang cukup untuk penyelenggaran alatan ICT ini agar kerosakan ini tidak berlaku dalam tempoh yang agak panjang.

Sunday 10 February 2013

REFLEKSI AWAL 1.2



Terdapat beberapa masalah pembelajaran yang dihadapi pelajar-pelajar sekolah saya seperti :-
1.Hilang fokus terhadap pembelajaran
 Saya mendapati murid-murid mudah hilang fokus terhadap pelajaran terutamanya murid  yang berada di kelas belakang. Mereka seolah-olah berada di dunia lain walaupun jasad berada di dalam kelas. Tumpuan dan minat mereka terhadap pelajaran tidak sepenuhnya. Bahkan kekadang mereka belajar dalam keadaan keterpaksaan kerana takutkan guru. Keadaan bertambah sukar sekiranya mereka tertinggal buku dan tiada kelengkapan alat tulis. Ini menyebabkan tumpuan mereka terhadap pelajaran terganggu .
2.Masalah ponteng kelas
Saya dapati juga murid-murid sekolah saya gemar ponteng kelas seolah-olah tidak berminat pada pelajaran. Ini dapat dikesan kerana ada pelajar yang merayau-rayau sekitar bangunan sekolah dengan alas an untuk ke tandas,kedai buku dan sebagainya. Cara mereka berjalan dengan bersantai-santai,meninjau-ninjau kelas lain dan bergurau senda tanpa ada perasaan untuk segera ke kelas amat dikesali. Sikap ini amat membimbang kerana mereka tidak menyedari tanggungjawab mereka yang sebenarnya sebagai seorang pelajar.
3.Ketinggalan Pelajaran Kerana Tiada Di Sekolah.
Fenomena ini sering berlaku kepada pelajar –pelajar yang mewakili sekolah bagi aktiviti ko-kurikulum.
Kesibukan dan kesungguhan mereka berlatih untuk memenangi acara yang diwakili menyebabkan mereka tercicir  dalam pengajaran dan pembelajaran guru. Kegagalan mengurus jadual latihan memungkinkan mereka ketinggalan dalam pelajaran.Kemerosotan akademik pelajar tersebut sering menjadi rungutan guru dan ibubapa.


4.Guru yang mengajar bukan opsyen
Kekurangan guru mengikut opsyen yang ditempatkan mengajar di sekolah saya menyebabkan guru terpaksa mengajar tanpa kemahiran yang sepatutnya.Keadaan seperti ‘bidan terjun’ atau ‘tangkap muat’ ini menyebabkan pembelajaran kurang menarik seterusnya murid-murid kurang berminat. Di samping itu, keadaan ini juga boleh melemahkan semangat guru untuk mengajar kerana terpaksa mengajar bukan opsyen yang mereka pelajari semasa di maktab perguruan dahulu.
5.Kerosakan alatan ICT.
Masalah kerosakan alatan ICT seperti komputer dan LCD yang tidak dibaiki dalam tempoh yang lama menyebabkan guru sukar menggunakan kecanggihan teknologi ini. Alasan tiada peruntukan untuk tujuan pembaikan menyebabkan ia sering terabai dan melemahkan semangat guru untuk mengajar menggunakan peralatan tersebut.

Refleksi Awal 1.1

Assalamualaikum...setelah menghadiri kelas pertama EDU 3105 ini, saya telah mendepani apa yang sangat saya takuti selama ini sekiranya saya menyambung pelajaran. Terasa betapa jahilnya saya dalam mendalami dunia TMK ini. Saya mengusung modul saban hari dan membacanya walaupun sukar untuk difahami serta belajar untuk mencintainya.
Selepas cuba menerokai isi kandungannya dan menerima petua-petua dari Puan Mimma dan teman-teman, saya dapati alangkah banyaknya manfaat yang terkandung dalam modul ini untuk saya aplikasikan semasa PdP bagi menghasilkan sesuatu yang menarik untuk pelajar saya. Ini kerana dunia pembelajaran sekarang jauh berbeza dengan zaman saya dahulu. Anak didik kini sangat teruja dengan kecanggihan dunia TMK. Pdp yang berkonsepkan TMK pasti dapat menarik minat pelajar bagi mencapai objektif yang maksimum dan selari dengan tuntutan zaman pembelajaran masakini.